Go

Surat Terbuka Kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Berkenaan Kenyataan Tentang Haiwan Dan Corona Virus

 


Kepada Datuk Dr Noor Hisham yang dihormati,

Kami telah mengikuti laporan harian Datuk dan amat mengakumi serta menghormati segala yang Datuk sedang lakukan untuk menyelamatkan Malaysia.

Namun demikian, kami kini berasa bimbang tentang kenyataan Datuk dalam sidang akhbar semalam (sewaktu menjawab soalan daripada wartawan) yang mengatakan bahawa haiwan yang dijangkiti dengan coronavirus mungkin menyebarkan penyakit ini kepada manusia. Berdasarkan penyelidikan sehingga kini, coronavirus kucing (FCov) serta coronavirus anjing (CCov) tidak boleh menjangkiti manusia.

Selain itu, berdasarkan laporan setakat ini, terdapat hanya beberapa kes terpencil yang mana zarah virus Covid-19 ditemui pada swab haiwan peliharaan orang yang dijangkiti, iaitu anjing-anjing di Hong Kong dan kucing di Belgium, dan besar kemungkinan ini adalah kes yang mana manusia yang dijangkiti (pemilik haiwan) menyebarkan virus kepada haiwan peliharaan mereka, bukan sebaliknya. Setakat ini tiada bukti yang menunjukkan haiwan boleh menjangkiti manusia dengan Covid19. Ia adalah reverse-zoonosis dan bukan zoonosis (manusia menjangkiti haiwan, bukan sebaliknya).

Walaupun kenyataan Datuk merujuk kepada “coronavirus”, dukacita dimaklumkan bahawa sesetengah media telah mengelirukan para pembaca mereka. Datuk mengatakan “coronavirus”, tetapi pihak media melaporkannya sebagai “Covid19”.

Kebimbangan utama kami adalah bahawa sesetengah orang mungkin tidak tahu bahawa terdapat pelbagai strain coronavirus, oleh itu, laporan media yang salah ditulis mungkin menyebabkan panik yang tidak diingini, iaitu, orang mungkin mengabaikan haiwan kesayangan atau lebih teruk, pihak-pihak tertentu mungkin bertindak dengan cara yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan haiwan.

Pertubuhan kebajikan haiwan di seluruh dunia kini sedang memantau fenomena ini dan bertanggunjawab menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih kepada pemilik haiwan peliharaan serta penjaga haiwan agar pihak pemilik/penjaga mengamalkan protokol kebersihan dan keselamatan dan pada masa yang sama, terus menjaga haiwan mereka dengan baik.

Kami merujuk kepada laporan-laporan di bawah.

(1) https://www.vet.cornell.edu/departments-centers-and-institutes/cornell-feline-health-center/coronavirus-update

(2) https://www.scmp.com/news/hong-kong/health-environment/article/3076480/coronavirus-hong-kongs-infected-dogs-were

(3) https://www.goodhousekeeping.com/life/pets/a31476524/can-dogs-get-coronavirus/

(4) https://www.avma.org/resources-tools/animal-health-and-welfare/covid-19

(5) https://wsava.org/wp-content/uploads/2020/04/COVID-19-An-Update-for-WSAVA-Members-April-3.pdf

Kami akan sangat berterima kasih sekiranya Datuk sudi membuat penjelasan di sidang akhbar Datuk pada hari ini supaya tidak timbul kejadian yang tidak diingini terhadap haiwan.

Sekali lagi, kami amat berterima kasih atas semua yang Datuk lakukan untuk menyelamatkan Malaysia.

Dr Chan Kah Yein
Pengasas-Presiden
AnimalCare Society Petaling Selangor

Nota: Kami menyedari bahawa hanya beberapa media sahaja yang telahpun menurunkan laporan mereka tentang hal ini semalam, tetapi masih ada banyak laporan yang masih diterbitkan dan ini amat membimbangkan.



Source: https://myanimalcare.org/2020/04/07/surat-terbuka-kepada-ket..



 

avatar

AnimalCare

AnimalCare is a registered society that promotes caregiving to street animals and helps in their neutering and medical needs. AnimalCare has a Medical Fund, Food Fund and Education Fund.

More Articles   |   Pets For Adoption   |   Website



Facebook Comments


Copyright © 2008 - 2024, PetFinder.my. All rights reserved.