Go

Animal Malaysia Mendapat Tag Daripada Sugeh Resort..

 




Animal Malaysia mendapat tag daripada Sugeh Resort mengenai video memberi makan ular sawa baru miliknya dengan haiwan hidup dan mungkin untuk meminta pandangan. Berikut pandangan terbuka Animal Malaysia untuk pendidikan warga Sugeh Resort :-

Sekali lagi Sugeh Resort membuat posting video proses memberi makanan ular sawa dengan haiwan hidup dan dipertontonkan kepada masyarakat di Malaysia pelbagai peringkat umur.

Animal Malaysia pernah menyuarakan kebimbangan sikap begini ketika Sugeh Resort melakukan hal sama dengan ular Sawa bernama Ratnasari yang baru-baru ini mati dalam kurungan Sugeh Resort.

Alasan diberikan Sugeh Resort terhadap perlakuan menayangkan video ini kepada umum melalui media sosialnya ialah “memberi pendidikan bagaimana cara pemakanan ular yang betul dan ianya proses naturalisasi haiwan liar seperti ular yang perlu memburu makanannya sendiri”.

Kita memahami ular memakan haiwan hidup namun soal yang mahu dibahas berkisar tentang kesesuaian merekod aktiviti ini dengan alasan pendidikan namun akhirnya terlihat mempergunakan haiwan dan penderitaan haiwan sebagai ‘marketing tools’ untuk perniagaan.

Ini komen Animal Malaysia mengenai pemberian makanan secara naturalisasi dan tayangan video yang kononnya untuk pendidikan.

Jika ianya bersifat pendidikan :

Sebaiknya video memberi makan haiwan liar dengan benda hidup hanya ditontonkan kepada pelajar biologi, veterinar, jurusan haiwan di universiti dan kolej secara tertutup. Bukan ditontonkan kepada masyarakat yang tiada kaitan dengan pelbagai lapisan umur di Malaysia yang tidak memerlukan video begini.

Jika alasan pendidikan diberikan oleh Sugeh Resor bererti mereka tidak peka dan tidak sensitif dengan keperluan pendidikan masyarakat yang tidak memerlukan video ini dalam media sosial.

Jika ianya bersifat natural dan semulajadi :

Ular Sawa dan haiwan liar di hutan lepas dan di mana-mana taman negara adalah di habitat asal semulajadi. Haiwan liar seperti ular mempunyai pilihan makanan yang dikehendaki tanpa memerlukan jadual waktu makanan, jadual menu dengan pilihan dipilih oleh pemelihara dan keperluan kuantiti mengikut selera dan kehendak pemakanan mereka. Bukan yang disukat manusia. Selain itu haiwan bebas atau mangsa yang menjadi mangsa buruan ular sawa dan haiwan liar lain berhak menyelamatkan diri dan berhak untuk mempunyai pilihan hidup kedua sekiranya dapat menyelamatkan diri. Bukan terkurung dalam kandang kecil yang tiada peluang bagi haiwan yang menjadi mangsa untuk menyelamatkan diri.

Jika soal naturalisasi pemakanan haiwan liar dan ular sawa diberikan sebagai alasan. Maka proses yang dianggap naturalisasi cara makan haiwan liar dan ular sawa Sugeh Resort bolehlah dikatakan tersasar dan bertentangan dengan hak haiwan.

Perkara pokoknya ialah janganlah divideokan aktiviti memberi makanan haiwan liar dengan haiwan hidup untuk sekadar melariskan page laman sosial tanpa keperluan sebenarnya.

Justeru Jabatan perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) sudah boleh mengkaji keperluan pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 meletakkan syarat pemberian lesen dan permit memelihara agar mampu mendisiplinkan pemilik haiwan liar seperti ular begini supaya menggunakan saluran betul rakaman video dan foto untuk tujuan pendidikan sebenar dan pendedahan naturalisasi agar tidak menimbulkan kemarahan kebanyakan masyarakat pencinta haiwan.

Jika persoalan ini tidak dapat diatasi oleh pihak berkuasa. Maka bagaimana ianya boleh dikekang apabila semua masyarakat menjadikan video keganasan haiwan liar dalam negara sebagai pendidikan untuk masyarakat Malaysia menjadikan budaya tiada ihsan dan belas kesian sebagai cara hidup.

Source: https://www.facebook.com/animalmalaysia/photos/a.63918759962..



 



Facebook Comments


Copyright © 2008 - 2024, PetFinder.my. All rights reserved.